comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Tragedi wanita dikerat 15 jadi mimpi ngeri penduduk Ampang

Foto: Keratan akhbar dengan laporan penemuan anggota badan manusia yang mati dibunuh dengan kejam, dipercayai antara yang paling kejam di Malaysia selepas kes Mona Fandey.

FAIL MAHKAMAH: Tiada siapa menyangka, sebuah taman perumahan yang nampak tenang dan aman, rupa-rupanya menyimpan suatu tragedi hitam.

Pada Ogos 2011, seluruh negara telah dikejutkan dengan penemuan mayat dua individu angkara kekejaman manusia, di sebuah pangsapuri yang terletak di Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Foto: Pangsapuri di Taman Kosas, Ampang, Selangor

Penemuan mayat malang tersebut berikutan aduan diterima penduduk yang terhidu bau busuk, dari salah sebuah unit kediaman yang terbiar selama 10 tahun, sebelum kejadian.

Mayat disahkan milik seorang wanita yang dikerat 15, dengan anggota badan mangsa dijumpai dalam dua plastik serta satu sarung bantal yang disorok di atas siling rumah.

Foto: Bantal dengan kesan darah di bahagian tengah, seakan terdapat anggota badan lain di dalamnya disorok di atas siling rumah.

Manakala satu lagi mayat dikenal pasti milik seorang kanak-kanak, ditemui dalam keadaan lengkap anggota badan tanpa sebarang kesan kecederaan.

Berdasarkan laporan perubatan, kedua-dua mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih kurang empat hari, sebelum mayat mereka ditemui penduduk.

Foto: ACP Lim Bak Phai, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan & Perundangan) Sarawak

“Kita dapat kenal pasti dan sahkan bahawa identiti merupakan seorang perempuan warganegara Indonesia, berumur 30 tahun dan si mati kedua merupakan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun,” kata ACP Lim Bak Phai yang merupakan Pegawai Penyiasat Kanan di IPD Ampang Jaya, pada waktu itu.

Foto: Polis mengenal pasti dan mengesahkan identiti mayat wanita tersebut merupakan milik seorang warganegara Indonesia berumur 30 tahun.
Foto: Si mati kedua merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Selain pihak INTERPOL dan Kedutaan Indonesia membantu mengesan keberadaan waris mangsa, pihak polis juga mendapatkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai kejadian.

Foto: Semua barang-barang termasuk kaki mayat yang dijumpai telah dimasukkan ke dalam plastik hitam yang digunakan untuk membawa mayat

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa telah dibunuh terlebih dahulu di tempat lain, sebelum suspek bertindak mengerat tubuh mayat wanita tersebut kepada 15 bahagian.

Suspek dipercayai menggunakan pisau pemotong daging dan tukul besi bagi mengerat mangsa, sebelum bertindak melupuskan anggota badan yang dikerat di atas salah satu siling tandas di pangsapuri berkenaan.

Foto: Keratan akhbar melaporkan suspek menggunakan pisau pemotong daging dan tukul besi untuk menceraikan, meleraikan bahagian anggota badan si mati.

“Pembunuhan ini saya rasa satu pembunuhan yang amat kejam. Tak terfikir macam mana satu orang manusia boleh memotong mayat sehingga begitu sekali,” kata Mohamed Anwan Ahmad Tarmizi, Sarjan Major Koordinasi Jabatan Siasatan Jenayah D3 ATIPSOM Bukit Aman.

Foto: Mohamed Anwan Ahmad Tarmizi, Sarjan Major Koordinasi Jabatan Siasatan Jenayah D3 Anti Perdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman

Demi menutup perbuatan jenayah itu, pisau yang dipercayai menjadi senjata pembunuhan didapati telah dibasuh sebagai menghapuskan bukti.

Beberapa bahan bukti lain berkaitan pembunuhan kejam itu turut ditemui.

Polis juga menemui beberapa petunjuk lain dan susulan itu, 12 lelaki warga asing ditahan.

Foto: Suspek berusia antara 18 dan 25 tahun telah ditahan pada waktu malam di sekitar Selangor.

Pihak polis percaya, motif pembunuhan mungkin disebabkan rasa tidak puas hati antara antara suspek warga Bangladesh dan mangsa warga Indonesia.

Pada 26 Ogos 2011, tiga suspek didakwa di bawah Seksyen 201 dan 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh pertama dihukum penjara 40 bulan atas jenayah melupuskan keterangan, sementara tertuduh kedua dan ketiga dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun setengah atas kesalahan membunuh tanpa niat.

Bekas wartawan jenayah TV3, Nik Suryani Megat Deraman mengakui tidak menyangka suspek tergamak melakukan pembunuhan ngeri itu, melihatkan usia dan fizikal mereka.

“Kita akan rasa muka mesti macam Ah Long, muka mesti macam kaki pukul. Tak, muka yang memang muka yang sangat baik. Masih berumur 20-an. Yang pelaku macam umur 29 tahun ketika itu, tapi tubuh dia kecil.

Untuk paparan dan imbasan terperinci, tonton episod ‘Kaki Dari Seberang’ menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu 6 Disember 2023 di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini