comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Rangkuman kes-kes berprofil tinggi sepanjang 2023

Antara kes berprofil tinggi yang dipaparkan dalam program Fail Mahkamah TV3

FAIL MAHKAMAH: Sepanjang tahun 2023, program Fail Mahkamah telah menampilkan beberapa kes jenayah berprofil tinggi yang pernah menggemparkan Malaysia.

Berikut adalah antara rangkumannya;

Pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya

 

Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga pembantunya, Ahmad Kamil Abdul Karim (seorang peguam), Noorhisham Mohamad (pegawai bank) serta Kamaruddin Shamsuddin (pemandu Sosilawati) dijadikan mangsa kes pembunuhan ini. 

Jenayah terancang itu didakwa berlaku pada malam 30 Ogos 2010.

Setelah dibunuh, jasad keempat-empat mereka dibakar secara pembakaran mayat menggunakan kayu api.

Tertuduh, Pathmanabhan, seorang bekas peguam serta tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

 

Penjenayah & perogol, Rambo Bentong

 

Rambo Bentong atau nama sebenar, Rabidin Satir tidak hanya menyasarkan wanita dewasa sebagai mangsanya, malah turut merogol dan membunuh kanak-kanak dan remaja.

Rambo Bentong dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan iaitu merogol, melakukan seks luar tabii, merompak, memiliki senjata api, mencedera serta cubaan bunuh anggota polis serta melakukan pembunuhan.

Dia dijatuhkan hukuman penjara selama 82 tahun dan 32 sebatan, serta hukuman gantung sampai mati atas kesemua jenayah keji yang telah dilakukannya.

 

Pembunuhan Canny Ong

 

Kepulangan Canny Ong Lay Kian, seorang penganalisis teknologi maklumat di San Diego, California, Amerika Syarikat ke Malaysia demi menziarahi bapanya yang sedang sakit, berakhir dengan kematian pada 14 Jun 2003, setelah diculik, dirogol dan dibunuh oleh Ahmad Najib Aris.

Mayat Canny Ong disumbat dalam sebuah lubang sempit di Jalan Klang Lama, sebelum ditindih dengan tayar berisi simen dan dibakar menggunakan petrol.

Kes ini juga mengaplikasikan sains forensik buat pertama kalinya di Malaysia.

Ahmad Najib dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada Februari 2005.

 

Pembunuhan Suzaily Mokhtar

 

Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun, ditemui di sebuah tapak pembinaan perumahan Bukit Tinggi, Klang dalam keadaan berbogel.

Mangsa dipercayai telah diperkosa, diliwat, dipukul dan dibunuh oleh Hanafi Mat Hassan, 34 tahun, seorang pemandu bas, pada 7 Oktober 2000.

20 April 2002, Hanafi dijatuhkan hukuman gantung serta 20 tahun penjara dan 12 sebatan.

 

Kehilangan Siti Syazwani

 

Siti Syazwani Ahmad Dusukhi, 9 tahun, tidak pulang ke rumah selepas ke kelas mengaji Al-Quran, ditemukan separuh bogel dengan kepalanya terbenam kira-kira dua meter dalam parit di ladang kelapa sawit.

Mohd Bashrah Akhbar, 37 tahun, seorang penganggur yang juga penduduk di kawasan kejiranan itu didapati bersalah lima tahun selepas kejadian.

Bagaimanapun Bashah terlepas dari tali gantung ekoran disahkan mengalami masalah mental dan diperintahkan untuk ditahan di Hospital Bahagia bagi tempoh mengikut perkenan Sultan Kedah.

 

Kisah misteri Nurin Jazlin

 

Niat seorang kanak-kanak perempuan, Nurin Jazlin Jazimin untuk membeli sepit rambut di pasar malam berhampiran rumah bertukar jadi mimpi ngeri buat keluarganya, apabila dilaporkan hilang.

Pada 17 September 2007, sebuah beg sukan ditinggalkan di hadapan sebuah premis di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya didapati mengandungi mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam keadaan tidak berbaju, dipercayai Nurin.

Berdasarkan bedah siasat, anak kedua daripada tiga beradik ini dilaporkan telah diseksa.

Namun sehingga ke hari ini, identiti pelakunya masih tidak dapat dikenal pasti.

 

Raffli ditembak pengikut ‘Tuhan Harun’

 

Ahmad Raffli Abdul Malek, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) maut ditembak oleh pengikut kumpulan ajaran sesat, ‘Tuhan Harun’ di hadapan rumahnya pada 10 November 2013.

Pengasas ‘Tuhan Harun’, Harun Mat Saat menjadi dalang utama dalam kes ini, apabila beliau merangka pelan untuk menghapuskan Raffali akibat tidak puas hati terhadap mangsa yang mendedahkan modus operandi ajaran sesat.

Walau Harun telah menemui ajal, dipercayai saki baki pengikutnya masih meneruskan ilmu ajaran sesat kumpulan itu.

 

Pembunuhan Along Spoon

 

Along Spoon atau nama sebenar, Sabi’ul Malik Syafie dilaporkan menjadi mangsa pembunuhan bermotifkan cemburu, apabila dikatakan menjalin hubungan dengan isteri suspek, Mohd Ya’cob Demyati, seorang anggota polis.

Mayat Along ditemukan di lereng bukit dalam sekarung guni pada 6 Januari 2000 dan sudah mereput.

Mohd Ya’cob didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Namun selepas kejayaan rayuan diringankan hukuman, pindaan mahkamah serta kelakuan baik ditunjukkan tertuduh sepanjang hukuman dan beberapa faktor lain, Mohd Ya’cob dibebaskan dari penjara pada November 2023.

 

Kes sensasi Mona Fandey

 

Mona atau nama sebenarnya, Maznah Ismail, bersama suami, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka, Juraimi Husin disabitkan kesalahan membunuh ahli politik, Datuk Mazlan Idris, yang mana mayatnya telah dikerat 18 bahagian pada Julai 1993.

Mona dan suami dilaporkan turut mendalami ilmu hitam dan dipercayai turut terlibat dalam beberapa lagi aktiviti jenayah yang lain.

Pada 9 Februari 1995, Mahkamah Tinggi Temerloh mensabitkan kesalahan membunuh dan menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga tertuduh.

Perbicaraan kes kontroversi ini adalah yang paling panjang dalam sejarah perundangan negara dan yang terakhir menggunakan sistem juri.

 

Botak Chin vs. Magnificent 12

 

Aktiviti jenayah rompakan bersenjata Botak Chin dan ahli kumpulannya berleluasa di tengah ibu kota, bermula penghujung 60-an.

Usaha memburu Botak Chin diperhebat dengan penubuhan pasukan khas, ‘Magnificent 12’ yang dianggotai 12 anggota dan pegawai polis terbaik ketika itu.

Botak Chin akhirnya ditangkap dan diputuskan bersalah serta berdepan hukuman mati atas tuduhan memiliki senjata api.

 

Pembunuhan dua beranak

 

Kisah pembunuhan dua beranak di Taman Kosas, Ampang ini disifatkan antara jenayah paling kejam selepas kes Mona Fandey.

Mayat seorang wanita warga Indonesia dan anak lelakinya berusia dua tahun yang telah dikerat, ditemukan di unit tidak berpenghuni sebuah pangsapuri pada Ogos 2011.

Hasil siasatan membawa kepada penahanan lapan lelaki warga Bangladesh.

Seterusnya pada 26 Ogos 2011, tiga suspek dituduh di bawah Seksyen 201 & 302 Kanun Keseksaan.

Untuk paparan dan imbasan terperinci, tonton episod ‘Rangkuman Kes-Kes Berprofil Tinggi’ menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu 27 Disember 2023 di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton.

Loading...
Terkini