FAIL MAHKAMAH: Percutian sebuah keluarga di Malaysia bertukar menjadi mimpi ngeri.
Mana tidaknya, pasangan suami isteri, Sebastian dan Maebh Quoirin dari Ireland kehilangan anak sulung mereka yang juga remaja lembam.
Lebih menyayat hati, Nora Anne Quoirin yang ketika itu berusia 15 tahun, ditemukan meninggal dunia 10 hari kemudian.
Anak pertama daripada tiga beradik itu dilaporkan hilang di tempat penginapan keluarga itu di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan pada 4 Ogos 2019.
Ia bukan hanya menggemparkan penduduk setempat, malah turut meraih perhatian media antarabangsa.
Operasi mencari dan menyelamat Nora Anne melibatkan kekuatan lebih 200 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
Ia terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pasukan Gerakan Am (PGA), dua dron dan empat anjing K9.
Pasukan Forensik PDRM memulakan proses siasatan dan mengklasifikasikan kes kehilangan Nora Anne berdasarkan sudut jenayah.
Selepas mendapati ada kesan merah di dalam rumah penginapan, polis menjalankan ujian menggunakan peralatan Hemoccult Sensor dan Luminol untuk mengesahkan kewujudan darah.
Sarjan Siasatan Tempat Kejadian, Detektif Sarjan Maarof Nordin berkata, “Selepas kita confirm yang dapat kesan yang tu adalah darah, kita berjalankan satu ujian lagi menggunakan ‘hemoccult sensor’ nak
mengesahkan kesan tersebut adalah betul darah.”
“Jadi kita menjalankan ujian tersebut, memang kesan tersebut adalah positif darah.
Nora Anne dipercayai keluar mengikut tingkap bilik resort didiaminya.
Selepas beberapa hari menemui jalan buntu, operasi SAR diperkuatkan pula dengan bantuan pegawai dan anggota komando VAT 9.
Pencarian turut melibatkan sembilan dron yang dilengkapi alat pengesan haba manusia dan helikopter menggunakan infra red.
13 Ogos 2019, pasukan sukarelawan menemukan mayat Nora Anne berhampiran air terjun Lata Berembun, 2.5 kilometer dari resort diduduki keluarganya.
Terdahulu, pasukan SAR dikatakan sudah pun melalui kawasan terbabit, namun tidak menemui mayat remaja itu.
Di sebalik pelbagai jenis kekuatan dan teknologi yang digunakan, kematian Nora Anne akhirnya ditetapkan tidak berkait dengan unsur jenayah.
Hasil bedah siasat, remaja istimewa itu disahkan maut akibat kebocoran usus, dipercayai berpunca daripada kelaparan dan tekanan berpanjangan.
Saksikan imbasan terperinci kes kehilangan Nora Anne Quoirin menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam, Rabu ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.