comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Mati dibunuh sahabat sendiri

FAIL MAHKAMAH: “Kau anak orang miskin, sebab tu mak kau ni suka berhutang, penagih. Serba-serbi tak pandai.”

Itu kata-kata yang menerbitkan amarah seorang gadis remaja yang kemudiannya bertindak luar kawalan, membunuh sahabatnya.

Siapa sangka, persahabatan yang terjalin hampir sedekad, ternoktah dengan sebuah tragedi apabila hayat Siti Nur Surya Ismail berakhir di tangan sahabat baiknya sendiri.

Pada 1 November 2020, suspek, Siti Nur Athirah Azmi pergi ke rumah Surya di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu untuk mengambil tudung yang dihantarnya untuk dijahit.

Menerusi keterangan suspek, dia juga cuba meminjam wang lebih RM1,000 daripada mangsa, untuk melunaskan hutang dengan seorang lagi sahabatnya.

Namun permintaannya itu disambut dengan hinaan daripada mangsa yang dikatakan tidak puas hati kerana mendakwa Athirah hanya mencarinya ketika berdepan masalah.

Suspek mengambil sebilah pisau di atas meja di ruang tamu dengan niat untuk mengugut mangsa, namun mangsa bertindak menerkam suspek lalu berlaku pergelutan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Hulu Terengganu, ASP Zulhisham Ibrahim berkata dalam program Fail Mahkamah, “Si mangsa nak pertahankan diri, dia gigit, dia tarik rambut, kemudian dia gigit lengan Athirah. Di masa yang sama, suspek nak pertahankan diri dia, dia tikam bertalu-talu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Hulu Terengganu, ASP Zulhisham Ibrahim merupakan Pegawai Penyiasat kes ketika itu

“Dia (suspek) pun cakap dia tak sedar.. rasa macam kena rasuk hantu. Dia sedar bila tangan kawan dia tu terputus dan ada di tangan dia, ” kata peguambela, Azura Ghazali.

Suspek juga hilang pertimbangan apabila ternampak beberapa telefon bimbit, emas dan wang tunai, lalu mencuri kesemua barangan itu.

Peguambela, Azura Ghazali

Lebih menyayat hati, tragedi berlaku di hadapan ibu mangsa yang tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlantar menghidap kanser otak.

Suspek ditangkap keesokan harinya, ketika hadir memberi keterangan di balai polis untuk membantu siasatan.

Athirah yang didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun.

Siti Nur Athirah Azmi, 23, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada 5 Mac 2024 – FOTO: NSTP

Menurut Azura, “Kalau diputarkan masa, dia kata dia akan pastikan perkara ini tidak berlaku.

“Memang dia sedar wang tunai dibandingkan dengan nyawa tidak ternilai tapi sekurang-kurangnya dia nak berbakti kepada keluarga Surya.”

Saksikan imbasan terperinci kes menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam ini di TV3, atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini