comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Amarah memakan diri

FAIL MAHKAMAH: Hanya kerana emosi, kemalangan kecil di lebuh raya telah membawa kepada kematian.

Berbaloikah membiarkan amarah berakhir dengan tragedi yang meragut nyawa?

“Secara peribadi, memang saya nyatakan ini adalah berpunca daripada sifat amarah individu sendiri. Sekiranya kedua-dua pihak dalam siasatan ini bertolak ansur dalam penggunaan atau pemanduan di jalan raya, saya percaya kejadian ini boleh dielakkan.”

Itu kata Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Kuala Lumpur, Superintendan Rodney Pasla Haris dalam program Fail Mahkamah.

Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Kuala Lumpur, Superintendan Rodney Pasla Haris.

Dalam insiden di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Southville City pada 10 Ogos 2019, mangsa, Syed Muhammad Danial Syed Syakir yang ketika itu berusia 29 tahun, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Mahkota, Selangor.

Manakala tertuduh bersama isterinya menuju ke selatan tanah air.

Ketidakpuasan hati mangsa dan tertuduh bermula ekoran kemalangan kecil membabitkan kedua-dua kenderaan mereka sejurus melepasi Plaza Tol Sungai Besi.

Mereka kemudian saling mengejar dan melakukan provokasi antara satu sama lain, sebelum memberhentikan kenderaan masing-masing disebabkan kesesakan lalu lintas.

Di situ, berlakunya pergaduhan antara mereka berdua.

Awalnya, mangsa dan tertuduh dilihat semakin beralah dan masuk ke dalam kenderaan masing-masing.

Namun mangsa kembali keluar dan mengambil kayu besbol dari boot keretanya, meluru ke arah kenderaan tertuduh yang sedang mengundur dan memukul bonet kereta tertuduh.

Kenderaan tertuduh yang sedang bersedia bergerak untuk meninggalkan lokasi, melanggar mangsa, menyebabkannya tersepit antara kereta dan pembahagi jalan.

ASP D5 Siasatan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, ASP Siti Sarah Aisyah Saad berkata, tertuduh melanggar mangsa sehingga mangsa jatuh terdampar dan berguling di pembahagi jalan.

“Ini bukan hanya dari hasil siasatan saya. Kita melihat di sini keseluruhan dari bukti-bukti dan ada sebahagian saksi membuat rakaman, melihat sendiri bagaimana mangsa dilanggar oleh tertuduh dan jatuh di divider.

“Saksi di tempat kejadian telah membawa mangsa ke klinik berkenaan, malangnya klinik berkenaan telah tutup untuk menerima rawatan. Mangsa seterusnya dibawa ke Nilai Medical Centre dan disahkan meninggal dunia.”

ASP D5 Siasatan Pendakwaan, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, ASP Siti Sarah Aisyah Saad.

Syed Muhammad Danial meninggalkan seorang balu dan seorang cahaya mata perempuan yang ketika itu baru berusia empat bulan.

Lebih memilukan, kejadian berlaku sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.

Syed Muhammad Danial

Menurut Supt. Rodney Pasla, kes yang pada asalnya dilihat sebagai satu siasatan straight forward telah menjadi rumit apabila ia berlaku di tempat terbuka dan disaksikan pengguna-pengguna jalan raya yang memberi pelbagai pandangan kerana tidak melihat kejadian secara menyeluruh.

“Saya buktikan kejadian ini sebagai suatu yang sangat dikesali.. tertuduh walaupun pada mulanya berkeras menyatakan tindakan itu perlu, tapi pada akhir siasatan telah berasa kesal dan mengakui sekiranya bertolak ansur, kejadian ini boleh dielakkan dan satu nyawa boleh diselamatkan.”

Saksikan imbasan terperinci kes menerusi program Fail Mahkamah pada jam 9 malam ini di TV3 atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini