Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Empat pengarah sebuah syarikat jualan langsung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.
Tan Kwong Yeow, 35; Ooi Chuen Chie, 35; Seow Ming Cjoy, 32; dan seorang wanita, Lim Shing Yee, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik iaitu Career Opportunity Plan (COP) tanpa suatu lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.
Oleh itu, semua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) Akta yang sama.
Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam lebih kurang 5 petang, 19 Oktober 2022 di Wisma Quinton, Jelutong.
Mahkamah turut mendakwa syarikat jualan langsung berkenaan, Quinton Group Sdn Bhd, atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan jualan langsung secara transaksi elektronik iaitu COP tanpa lesen yang sah pada tarikh dan tempat yang sama.
Kes itu juga dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(a) Akta yang sama.
Hakim membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
29 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.