KUALA LUMPUR: Bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, Emilia Hanafi, hari ini menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.
Hukuman itu dijalankan bermula hari ini selepas Emilia, 43, menyerah diri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi tadi
Peguam Syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, berkata anak guamnya akan menjalani hukuman itu di Penjara Wanita Kajang.”Selepas menjalani hukuman itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur yang ditetapkan pada 6 Julai,” katanya.
Sementara itu, adik Emilia, Ezhan Shahril, 42, yang ditemui di mahkamah amat berharap akan ada keadilan untuk kakaknya apabila dibebaskan nanti.”Saya juga sudah menghantar sendiri surat rayuan kepada Istana Negara tiga bulan lalu supaya hukumnya dapat dikurangkan, namun hingga kini tiada jawapan,” katanya.Terdahulu, Emilia ketika hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kira-kira jam 10 pagi berharap kesnya menjadi contoh kepada orang lain.
“Saya juga berharap semoga ada pihak yang dapat membantu melihat kes saya di mahkamah,” katanya yang hadir memakai jubah putih.
Sebelum ini media melaporkan, Emilia akan menyerah diri di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini dan menjalani hukuman penjara tujuh hari dan dikatakan terpaksa berbuat demikian kerana tekanan emosi yang berterusan serta trauma dihadapinya.
Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) yang difailkan SM Faisal, 43, apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.
Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya.
Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia.–BERITA HARIAN