Tumpuan :
Mahkamah

Eksekutif Kanan Syarikat Petroleum Didakwa Seleweng Minyak Pelincir Kenderaan

Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menyeleweng minyak pelincir kenderaan milik majikannya dua tahun lalu.

AYER KEROH: Seorang bekas Eksekutif Inventori Kanan sebuah syarikat petroleum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menyeleweng minyak pelincir kenderaan milik majikannya dua tahun lalu.

Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu 24,461.43 kilogram minyak pelincir dengan anggaran harga RM113,000 didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

Sementara itu, dua lagi rakannya turut didakwa di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri dan Hakim Nariman Badruddin atas dakwaan dengan bersubahat melakukan pecah amanah berkenaan.

Kedua-dua tertuduh Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33 tahun dan Mohd Zakry Abu Bakar, 38 tahun yang juga seorang kontraktor dan polis bantuan turut mengaku tidak bersalah.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 408 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 20 September hingga 1 November 2020 di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn Bhd (MLBP) Sungai Udang.

Sheikh Izzuddin dan rakannya Mohammad Safiy Khan dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Manakala Mohd Zakry dikenakan jaminan RM7,000.

Ketiga-tiga tertuduh dibicarakan serentak pada 26 September depan.

Loading...
Terkini