comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Eksekutif akaun tak mengaku pecah amanah wang majikan RM680,000

FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang eksekutif akaun sebuah syarikat berdepan enam pertuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan wang majikannya berjumlah RM680,108.13, empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, mengaku tidak bersalah  di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Darmafikri Abu Adam dan Mohd Sabri Ismail.

Di Mahkamah Sesyen 3,  Eksekutif Akaun di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn Bhd itu, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM293,249.28 daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat berkenaan dalam amaun berbeza ke tiga akaun bank miliknya iaitu Maybank, CIMB dan Public Bank.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di No 32-1, Jalan PM 5 Plaza Mahkota Melaka antara 4 Julai hingga 23 Oktober 2019 dan antara 20 Ogos hingga 24 September 2019.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara  maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin berhujah kesalahan itu tidak boleh dijamin dan bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Sekiranya mahkamah ingin memberikan jaminan pihaknya memohon ikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin berserta syarat  tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak mempunyai wang termasuk untuk melantik peguam.

Hakim Darmafikri membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh berdepan tiga lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM386,858.85 iaitu dengan memasukkan wang berkenaan dalam amaun berbeza ke dalam akaun peribadinya serta akaun syarikat milik suaminya, Yew Meng Kiat Ent.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat sama  antara 24 Mei hingga 14 Oktober 2019, 15 hingga 28 Ogos 2019 dan 11 September 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan.

Namun Hakim Mohd Sabri mengurangkan kepada RM35,000 selepas dirayu tertuduh atas alasan sama.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Julai depan bagi lantikan peguam.

Loading...
Terkini