Tumpuan :
Mahkamah

Edar dadah di lebuh raya, pemilik bengkel hadapi pertuduhan

S Guganeesvaran, 32, didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar hampir dua kilogram dadah. – FOTO NSTP

AMPANG: Seorang pemilik bengkel motosikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar hampir dua kilogram dadah di sebuah lebuh raya minggu lalu.

Tertuduh, S. Guganeesvaran, 32 tahun, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1,969 gram di lorong motosikal Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berdekatan Tol Taman Bukit Teratai, Hulu Langat pada jam 5.30 petang, 9 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan tidak kurang 15 sebatan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie, manakala Guganeesvaran diwakili peguam Nabila Habib.

Normaizan menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini