NARATHIWAT: Penyanyi dikir barat warga Malaysia bersama lima individu lain hari ini didakwa atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah yang didakwa dilakukan mereka di bandar Sungai Golok, dekat sini pada 1 November lalu.
Selain penyanyi itu, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30 atau lebih dikenali Eda Ezrin, lima lagi yang didakwa termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, selain Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.
Semua tertuduh masing-masing tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pil berkenaan, namun mengaku bersalah bagi pertuduhan menggunakan dadah di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Narathiwat, Yuan.
Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.
Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain kerana tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.
Keenam-enam mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand.
Bercakap melalui jurubahasa, hakim meminta keenam-enam yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah untuk mencari bukti dan saksi bagi menyokong tuntutan mereka.
“Kes ini adalah kepentingan awam di Malaysia dan Thailand. Oleh itu, saya mahu memastikan kes ini diselesaikan secepat mungkin.
“Jika biasanya, ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mahkamah menyelesaikan kes seperti ini, tetapi saya berjanji akan membuat keputusan awal Mac,” tambahnya.
Hakim turut bertanya kepada enam rakyat Malaysia itu sama ada mereka ingin mengatakan apa-apa mengenai kes ini, namun semuanya hanya menundukkan kepala.
Hakim menetapkan 11, 13 dan 14 Februari depan untuk keenam-enam tertuduh mencari saksi dan menyediakan bukti kepada mahkamah.
Sementara itu, hampir 50 ahli keluarga berkumpul di luar mahkamah untuk mengikuti perbicaraan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.