comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua wanita antara lima individu didakwa perdaya lelaki

SEREMBAN: Dua wanita antara lima individu didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan memperdaya seorang lelaki untuk membuat pembayaran bagi proses pinjaman tidak wujud yang ditawarkan secara atas talian, November tahun lalu.

Tertuduh, Lee Jia Re, 23; Jason Lee Lian Sheng, 25; Jass Lee Ying Xing,19; Amiratul Najihah Abdul Malik, 21; dan Kamarul Nazrin Kamarulzaman, 29, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret,Nurul Saqinah Rosli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menipu seorang lelaki berusia 50 tahun dengan memperdayakannya untuk membuat pembayaran sebanyak RM310 ke akaun milik seorang wanita untuk urusan mendapatkan pinjaman wang secara dalam talian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Senawang, di sini, pada 18 November 2023.

Sehubungan itu, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, termasuk sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi, manakala, tertuduh diwakili peguam, Daljit Singh.

Nik Nur Aqilah kemudiannya memohon satu tarikh sebutan semula kes bagi laporan Forensik dan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Majistret kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes pada 6 Februari ini.

Difahamkan kesemua tertuduh ditangkap pada 20 Disember tahun lalu dalam satu serbuan di Sendayan dengan pelbagai barangan yang dipercayai bagi aktiviti penipuan.

Semakan mendapati terdapat 12 laporan polis dibuat oleh mangsa berkaitan kes penipuan pinjaman tidak wujud itu.

Loading...
Terkini