comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua termasuk ‘Datuk’ direman SPRM kerana kemuka dokumen palsu bagi dapatkan projek RM7.96 juta

Anggota SPRM mengiringi dua lelaki untuk mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Sivil bagi membantu siasatan kes pemalsuan penyata akaun bagi mendapatkan tender daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bernilai RM7,966,671.60, September tahun lalu.

Georgetown: Dua lelaki, termasuk seorang yang bergelar Datuk, direman bagi membantu siasatan kes pemalsuan penyata akaun bagi mendapatkan tender daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bernilai RM7,966,671.60, September tahun lalu.

Perintah reman selama tiga hari sehingga 17 Februari ini dikeluarkan Majistret Hadi Hakimi Harun selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Mahkamah Majistret Sivil di sini, hari ini.

Pemilik syarikat bergelar Datuk dan pengurus sebuah lagi syarikat, masing-masing berumur 64 dan 74 tahun, tiba di perkarangan mahkamah jam 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Menurut sumber SPRM, kedua-duanya dikatakan mengemukakan dokumen penyata akaun bank syarikat yang palsu untuk mendapatkan tender perkhidmatan pembersihan am jalan daripada MBSP.

Tender itu meliputi kerja-kerja pembersihan di zon Bertam, Seberang Perai Utara dekat sini, membabitkan jumlah keseluruhan RM7,966,671.60 bagi tempoh lima tahun.

Permohonan reman dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liayana Rozman dengan kedua-dua lelaki terbabit yang diwakili barisan peguam daripada firma guaman Athimulan & Co akan direman di lokap SPRM Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini