TAWAU: Dua sahabat terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah Julai tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif untuk menggugurkan kes dengan memberikan perintah dilepas tanpa dibebaskan keatas kedua-dua tertuduh.
Keputusan itu berikutan rayuan representasi yang dikemukakan oleh kedua-kedua tertuduh dan telah diterima Pejabat Peguam Negeri (PPN) Sabah pada 12 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, Alvedo John, 36,dan Azhar Syah Rosliansa, 25, yang merupakan penganggur didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 90.46 gram di kawasan parkir tepi jalan Lorong Puncak Palma 5A, Taman Palma Height, Lahad Datu jam 10.30 pagi pada 11 Julai 2023.
Atas kesalahan itu, kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dikenakan hukuman sebat tidak kurang 12 kali.
Kes itu sebelum ini disebut sebanyak lapan kali di Mahkamah Tinggi di sini, iaitu pertama kali pada 16 November 2023 di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Suhailla Selag dan kemudiannya di hadapan Duncan bermula 17 Julai 2024.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif manakala, Peguam Abdul Ghani Zelika mewakili Alvedo, sementara peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin mewakili Azhar Syah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.