![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BTV3-NEW-21.jpg)
MELAKA: Dua sahabat masing-masing dipenjara lima tahun dan empat tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang gelandangan, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh atas pertuduhan pilihan dan mensabitkan mereka, meneliti fakta kes serta hujah pihak pendakwaan dan pembelaan serta laporan sosial disediakan pegawai kebajikan masyarakat.
Tertuduh, Muhammad Aliff Daniel Wong Abdullah dan Joel V Michael Louis, kedua-duanya berusia 23 tahun, diperintah menjalani hukuman itu bermula tarikh ditahan iaitu masing-masing pada 19 dan 20 Mac 2022.
Menurut Anselm, tertuduh pertama, Muhammad Aliff Daniel didapati turut mencederakan mangsa dengan buku lima yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian, sementara Joel V tanpa senjata.
Katanya, tertuduh pertama sedar dan tahu pemilikan senjata buku lima adalah satu kesalahan lalu melupuskan dengan membuangnya ke dalam longkang di belakang sebuah hotel.
“Tidak lazim untuk membawa senjata buku lima, sama ada untuk mencederakan orang atau pertahankan diri. Dalam kes ini buku lima digunakan tertuduh pertama untuk mencederakan mangsa yang tidak melakukan apa-apa provokasi.
“Fakta diakui olehnya dan tertuduh pertama dengan ini dihukum penjara lima tahun dari tarikh tangkap.
“Tertuduh kedua tidak menggunakan senjata dalam mencederakan mangsa namun fakta dia nampak tertuduh pertama guna buku lima dan tidak menghalangnya. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan enam bulan,” katanya ketika memberikan penghakiman lisan hari ini.
Mengikut pertuduhan pilihan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Mohd Eddie Hafiez Yusof, 42, di hadapan kedai Lot G, Jalan Persisiran Bunga Raya, di sini, pada 15 Mac 2022 antara jam 1 hingga 3.45 pagi.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Mengikut pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 KK, mereka didakwa membunuh Mohd Eddie Hafiez dan berdepan hukuman gantung sampai mati, namun pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan pada 24 Januari lalu selepas menerima representasi peguam.
Fakta menunjukkan mangsa ditemui terbaring berlumuran darah pada jam 7.20 pagi 15 Mac 2022 di tempat kejadian oleh orang awam yang menghubungi polis.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka dalam keadaan koma dan doktor mendapati lelaki itu mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala, bibir terkoyak dan beberapa organ dalaman pecah, sebelum disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2022, jam 10.45 malam.
Tertuduh pertama dan kedua dalam keterangan antara lain menyatakan mereka mabuk dan menyerang dengan menendang serta menghentakkan kaki pada seluruh tubuh mangsa berkali-kali hingga berdarah dan pengsan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik; peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham mewakili tertuduh pertama, manakala tertuduh kedua diwakili S Paul Krishnaraja dan Amy Chong Chai Ling.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.