comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dua sahabat didakwa bunuh ahli perniagaan

 

KAJANG: Dua sahabat didakwa membunuh seorang ahli perniagaan di Sungai Tekali, Batu 14 Hulu Langat, April lalu.

J Devan, 40 bekerja sebagai pemandu e-hailing dan S Hariharan, 22 seorang pengganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Kedua-duanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh Mohamed Usman Chan Bacha, 41, antara jam 12.45 tengah hari 26 April hingga 6.40 petang 28 April lalu di kawasan tebing curam tepi Jalan Sungai Tekali, Batu 14 Hulu Langat.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim dan Devan diwakili peguam, Kenny Tan Cheng Yee, manakala Hariharan tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 19 Jun depan.Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang ahli perniagaan yang mati dibunuh ditemukan dengan keadaan tangan terikat dalam sebuah bagasi di cerun bukit pada ketinggian 27 meter di Hulu Langat, 28 April lalu.

Mangsa, seorang lelaki tempatan yang berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dengan kesan leher dijerut pengikat kabel.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, penemuan mangsa susulan tangkapan ke atas beberapa suspek selepas rakan serumah mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangannya pada 26 April lalu.

Menurutnya, mangsa yang mempunyai rangkaian klinik kesihatan persendirian gagal dikesan selepas bertemu seorang rakan perniagaan jam 11 pagi hari sama, di Semenyih.

Loading...
Terkini