KUALA LUMPUR: Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling bom petrol ke pintu sebuah pusat hiburan di ibu kota minggu lalu.
Kedua-dua tertuduh, M Preemraj dan Nor Rahman Sadik, masing-masing berusia 25 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mereka didakwa bersubahat bersama-sama seorang lagi suspek yang masih bebas, melakukan khianat dengan api iaitu membaling empat botol yang dinyalakan dengan api ke arah pintu hadapan pusat hiburan terbabit sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM3,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, dalam Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 2.17 pagi pada 9 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 435 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas setiap tertuduh dengan syarat tambahan iaitu kedua-dua mereka hendaklah melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Bagaimanapun, peguam bela M V Yoges yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon supaya wang ikat jamin dikurangkan kepada RM5,000 setiap seorang dengan alasan mereka menanggung keluarga dan tidak membantah syarat tambahan dimohon pendakwaan.
Katanya, Nor Rahman mempunyai isteri dan dua anak masing-masing berusia dua tahun dan 17 hari manakala Preemraj pula pernah terbabit dalam kemalangan tahun lalu yang menyebabkan tempurung kepalanya retak.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hamidah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 dan mengenakan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Buletin TV3 sebelum ini melaporkan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar selepas dibaling dengan bom petrol, awal pagi Khamis lalu.
Dua hari kemudian pada 11 Mei, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya telah menangkap empat suspek berhubung kes itu.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhubung kejadian itu dari sebuah premis berhampiran turut tular di media sosial.
Rakaman menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.