comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua pegawai imigresen berdepan tuduhan rasuah 

TAWAU: Dua pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini, atas tuduhan bersubahat dan menerima rasuah untuk menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui lapangan terbang.

Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Kedua-duanya pegawai Imigresen Gred KP19 dan masing-masing bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau dan Kaunter Lapangan Terbang Tawau (LTT).

Tertuduh pertama, Rosmaini didakwa atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM4,500 daripada Rahmah Mobin, 48.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Muamalat Cawangan Tawau di Lot 69 & 70, Ground & 1st Floor, No G4 & G6, Kubota Square, pada 22 Mac lalu.

Suapan itu sebagai dorongan bagi melepaskan sembilan orang Pati yang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau untuk menaiki penerbangan Myairline ke KLIA2 antara jam 8 pagi hingga 9 pagi, pada 23 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, tertuduh kedua, Elmin pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama atas kesalahan bersubahat dengan Rosmaini yang secara rasuah menerima wang RM4,500.

Ia sebagai dorongan untuk melepaskan sembilan orang Pati yang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau untuk menaiki penerbangan Myairline ke KLIA2, antara jam 8 pagi hingga 9 pagi pada 23 Mac lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Bank Muamalat Cawangan Tawau di Lot 69 & 70, Ground & 1st Floor, No G4 & G6, Kubota Square, pada 22 Mac lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan deposit RM5,000 ke atas kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Tawau sekali dalam tempoh dua bulan, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Hakim turut menetapkan tarikh 27 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Loading...
Terkini