comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua PATI lari dari pihak berkuasa dipenjara 8 bulan


KULAI: Dua lelaki warga Indonesia masing-masing dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak berkuasa, Selasa lepas.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi memerintahkan hukuman terhadap Riki Rinaldi, 40, dan Haji Samirudin, 36, bermula dari tarikh ditangkap dengan Riki mulai 11 April lepas manakala Haji Samirudin, pada 12 April lepas.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Riki dan Haji didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Riki dan Haji sebelum ini ditahan dan didakwa bagi kesalahan mengikut Seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang pada 11 April lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika dalam perjalanan dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang bersama tiga anggota APMM menaiki sebuah van orang kena tuduh agensi itu, Riki dan Haji berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van lalu terjun sebelum melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit terbiar.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Rabu lepas, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow dilapor berkata ketika kejadian, Riki dan Haji bersama-sama dua lagi tahanan warga Indonesia sepatutnya menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Ledang setelah didakwa di Mahkamah Kota Tinggi pada Selasa.

Loading...
Terkini