comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua nelayan Indonesia didakwa edar lebih 10kg dadah 

Foto: NSTP

TELUK INTAN: Dua lelaki warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar lebih 10 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, minggu lalu.

Tertuduh, Budi Heriansyah, 42, dan Jasli, 46, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 10.61 kg pada jam 10 malam di Jeti Nelayan Kg Bagan Sg Tiang, Selekoh, dalam daerah Bagan Datuk, 15 Julai lalu.

Sehubungan itu, mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39b(2) akta sama serta dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua nelayan itu boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 27 September depan untuk serahan laporan kimia.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris sebelum ini dilaporkan berkata, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki warga Indonesia itu dibuat jam 10 malam, 15 Julai lalu sebaik saja mereka tiba dengan menaiki sebuah bot di jeti nelayan di Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk.

Menurutnya, jeti berkenaan dijadikan transit oleh sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini