comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Dua lelaki hadapi tuduhan edar 20kg ganja

Mohamed Azlan (baju hijau) dan Fauzan Faris (baju hitam) diiringi polis di Kompleks Mahkamah Kangar, hari ini. – Foto: NSTP

KANGAR: Dua pemuda berdepan tuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 20 kilogram (kg).

Mohamed Azlan Shah Abdul Jaafar, 28 dan Fauzan Faris Mohamad Fadzli, 27 yang berasal dari Pulau Pinang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan membabitkan hukuman gantung sampai mati.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya iaitu ganja seberat 20 kg di persimpangan lampu isyarat Politeknik Ulu Pauh, Lebuh Raya Kuala Perlis-Changlun di Arau jam 4.30 petang pada 4 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 sebatan jika tidak dihukum dengan hukuman mati.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nurul Atikah Ab Rashid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Ana Rozana menetapkan 17 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes serta menunggu keputusan laporan kimia.

Loading...
Terkini