KLANG: Dua beradik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku salah mencuri dan menyimpan van jenazah dari sebuah masjid di sini, Sabtu lalu.
Majistret Amirul Asyraf Abd Rashid menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya, Faizal Rizan, 23.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara bermula tarikh tangkapan pada 25 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan pilihan, dua lelaki itu didakwa secara bersama-sama menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace bernilai RM30,000 milik sebuah masjid di Kampung Telok Gong, dekat Pelabuhan Klang yang dilaporkan hilang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor sekitar jam 1.05 pagi, 25 Januari lalu.
Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu seorang lelaki berusia 32 tahun membuat laporan polis berhubung kecurian van jenazah di masjid terbabit antara jam 2.30 petang, 17 Januari lalu hingga jam 7.45 petang, 21 Januari lalu.
Pada Ahad lalu sekitar jam 1.05 pagi, seorang saksi menahan kedua-dua tertuduh di hadapan sebuah surau di Johor bersama van dengan nombor pendaftaran palsu.
Semakan mendapati nombor pendaftaran asal kenderaan yang dinaiki kedua-dua tertuduh adalah milik van jenazah yang dilaporkan hilang di masjid dekat Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Terdahulu, peguam Mark Jeyakumar yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannya memberitahu anak guamnya melakukan kesalahan itu berikutan sekumpulan individu peminjam wang tidak berlesen kerap mengganggu mereka.
Kedua-dua tertuduh melakukan pinjaman wang kerana perlu menanggung isteri dan anak masing-masing, selain dua lagi adik mereka berusia 17 dan 14 tahun.
“Mereka dijanjikan mendapat bayaran berjumlah RM30,000 dengan melakukan kesalahan mencuri itu.
“Peminjam wang tidak berlesen ini kerap mengganggu empat beradik ini. Mereka terdesak,” katanya.
Justeru, Jeyakumar memohon supaya mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik ke atas kedua-dua tertuduh, bagaimanapun sekiranya mahkamah berpendapat perintah itu tidak bersesuaian merayu supaya anak-anak guamnya itu dikenakan hukuman penjara minimum.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak memohon supaya kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
“Mohon mahkamah mengambil kira harta curi itu adalah kenderaan yang digunakan bagi kemudahan awam untuk pengurusan jenazah.
“Selain itu mohon barang kes (van jenazah) diserahkan semula kepada pemilik asal,” katanya.
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Amirul Asyraf mengarahkan supaya barang kes dikembalikan kepada pemilik asalnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.