comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Doktor didakwa amang seksual, hasilkan pornografi 6 pesakit kanak-kanak 

Anas (tengah) didakwa tujuh pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pesakit kanak-kanak perempuan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Kemaman hari ini.

KEMAMAN: Seorang doktor perubatan di sebuah hospital kerajaan di Kuantan, Pahang, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan menghasilkan pornografi terhadap enam kanak-kanak yang juga pesakitnya.

Bagaimanapun, tertuduh Dr Anas Ramli, 32, berasal dari Chukai, Kemaman mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Tertuduh berdepan lima pertuduhan iaitu menghasilkan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar terhadap lima kanak-kanak berusia antara 7 hingga 11 tahun ketika bertugas di sebuah bilik rawatan di wad Hospital Kemaman.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di wad yang sama pada waktu berasingan iaitu pada hujung Disember 2022 hingga Februari 2023.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKKSTKK) yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama.

Dr Anas turut didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh payudara kanak-kanak berusia 12 tahun bagi maksud seksual pada 8 Februari 2023 kira-kira pukul 5.45 petang hingga 6.40 petang di sebuah bilik rawatan di hospital sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang baru berkhidmat selama empat tahun itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) AKKSTKK 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke balai polis terdekat pada setiap 1 hari bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh diwakili peguam, Faizal Rahman.

Sementara itu tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret secara berasingan atas pertuduhan memiliki gambar lucah yang disimpan di dalam telefon bimbitnya pada 1 November 2022 antara pukul 7.30 pagi hingga 10 pagi di Dewan Bedah Hospital Kemaman.

Bagi pertuduhan itu tertuduh turut mengaku tidak bersalah dan didakwa dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Majistret Sharifah Amirda Shasha kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mendekati dan menggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman dan tertuduh diwakili peguam sama.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 21 Mac ini sebagai serahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini