Tumpuan :
Mahkamah

Didenda RM5,000 miliki gambar, video lucah dalam telefon pintar

Muhammad Fitri ketika berada di perkarangan Mahkamah Majistret Taiping atas tuduhan memiliki puluhan gambar serta video lucah dalam telefon pintarnya, tahun lalu.

TAIPING: Seorang pembantu kedai didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki puluhan gambar dan video lucah dalam telefon pintarnya, tahun lalu.

Muhammad Fitri Ishak, 26, sebelum itu mengaku bersalah atas tuduhan dikenakan ke atasnya yang dibacakan di hadapan Majistret Nur ‘Atiqah Sapari.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 67 gambar dan 55 video lucah dalam telefon bimbit berjenama Realme model RMX2111.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bahagian dalam Hospital Taiping, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 16 Februari 2022.

Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Wei Jun.

Siti Hajar berkata, serbuan dilakukan terhadap tertuduh selepas SKMM mendapat aduan daripada seorang wanita yang mendakwa tertuduh menghantar sebahagian daripada gambar dan video lucah terbabit kepadanya.

Wei Jun memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan, mengambil kira pendapatan tertuduh RM1,200 sebulan dan masih menanggung ibu, bapa serta adik berusia 23 tahun; selain insaf dengan kesalahan dilakukannya itu.

Siti Hajar mengakui kepada mahkamah sepanjang siasatan dijalankan tertuduh memberi kerjasama yang baik, namun memohon barang kes iaitu telefon bimbit dan kad sim dilucuthakkan bagi pelupusan mengikut Seksyen 260 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah menetapkan denda RM5,000 terhadap tertuduh, selain hukuman penjara lapan bulan jika dia gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut membenarkan barang kes dipulangkan kepada SKMM dan dilucuthakkan untuk dilupuskan selepas tamat tempoh.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Loading...
Terkini