comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Didenda RM12,000 selepas mengaku salah perdaya 2 wanita

AHMAD Saifullah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas pertuduhan menipu dua wanita berkaitan tawaran pinjaman tidak wujud dan menyimpan gambar lucah. – Foto: NSTP

MELAKA: Seorang lelaki didenda RM12,000 atas tiga pertuduhan memperdaya dua wanita berkaitan tawaran pinjaman wang tidak wujud dan menyimpan gambar lucah sejak Mac lalu oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Dalam penghakimannya, Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman turut menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pemberatan hukuman oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didapati menipu dua wanita berusia 19 dan 33 tahun dengan memperdaya mereka untuk mempercayai tawaran pinjaman tidak wujud bernilai RM300 dan RM2,000, masing-masing hingga mendorong mangsa melakukan hubungan seks dengannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan PM4 Plaza Mahkota pada 21 Mac lalu, jam 12.40 tengah malam dan sebuah rumah di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru pada 1 Oktober lalu, kira-kira 11 pagi.

Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (KK) membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memiliki tujuh keping gambar lucah dalam telefon bimbit di sebuah sekolah maahad di Bukit Lintang, di sini, pada 3 Oktober lalu, jam 1.56 tengah hari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes tertuduh berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Omi sebelum memperdaya mereka dengan menawarkan pinjaman dengan mengenakan syarat perlu melakukan hubungan seks dengannya.

Bagaimanapun selepas melakukan seks, mangsa tidak menerima pinjaman seperti ditawarkan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung isteri masih belajar, dua anak kecil serta ibu bapa.

Katanya, dia juga sudah bertaubat dan berjanji tidak mengulangi kesalahan itu.

Nor Asnini bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas meneliti hujah kedua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,500 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar bagi setiap pertuduhan Seksyen 417 Kanun Keseksaan, selain denda RM5,000 atau 10 bulan penjara bagi pertuduhan memiliki bahan lucah.

Loading...
Terkini