Tumpuan :
Mahkamah

Didenda RM11,000, penjara 4 hari, tunggang motosikal dibawah pengaruh alkohol

Tertuduh, Mohd Rizwan Tasman, 29, dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, selepas mengaku bersalah menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol.-Foto: NSTP

TAWAU: Seorang lelaki Mohd Rizwan Tasman, 29, dihukum penjara empat hari dan denda RM11,000.00 oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, di sini, hari ini.

“Kamu seorang Islam mengapa minum arak, bila mabuk ketika memandu banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku,” demikian nasihat Dayang Aidaku sebelum menjatuhkan hukuman.

Mohd Rizwan, mengaku bersalah menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu dilakukan di Batu 2 Jalan Apas, jam 11.50 malam, 10 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 45A(1)(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun selain dikehendaki menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sebelum itu, tertuduh juga didenda RM500 selepas didapati gagal mempamerkan nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangnya.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintenden Joan Lee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini