Tumpuan :
Mahkamah

Didenda Aibkan Wanita

MARANG: Seorang pekerja kilang didenda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengaibkan kehormatan terhadap saudara wanitanya dengan melakukan kelucahan melalui aplikasi WhatsApp, tahun lalu.

Tertuduh berusia 26 tahun turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan iaitu dengan menunjukkan kemaluan melalui panggilan video di dalam aplikasi WhatsApp terhadap mangsa berusia 32 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai makan di hadapan Pasar Besar Marang di daerah ini, jam 8.53 pagi, pada 14 September 2021.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan sebaik menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini