Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Seorang penolong pegawai perubatan, Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan atas 12 pertuduhan menerima suapan RM3,350 daripada beberapa individu sebagai imbuhan untuk mengurus jenazah di Unit Perubatan Foresnik hospital terbabit.
Bagaimanapun tertuduh, Moh Roffi Ab Rahman, 57, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.
Tertuduh yang pernah meraih tiga anugerah khidmat cemerlang didakwa menerima suapan antara RM100 dan RM800 ringgit untuk kerja mengurus jenazah antara April 2021 dan Mac 2022.
Semua suapan didakwa diterima menerusi perpindahan wang secara atas talian daripada akuan bank beberapa individu ke dalam akuan tertuduh.
Semua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun serta denda.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kamariah Seman dan tertuduh diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.
27 November depan ditetapkan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dijamin RM7,000 bagi semua pertuduhan.