comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Diana Danielle failkan permohonan nusyuz terhadap Farid

SUBANG: Aktres Diana Danielle memfailkan permohonan nusyuz terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di Subang Bestari, hari ini.

Menurut peguamnya Syarie Azmi Mohd Rais, tuntutan nusyuz itu difailkan di hadapan Hakim Syarie Shukran Yusof.

“Kita sudah memfailkan tuntutan pembelaan, pada masa sama, pihak kita juga (Diana) turut memfailkan tuntutan balas iaitu nusyuz terhadap Farid,” katanya ketika ditemui selepas prosiding nusyuz Farid terhadap Diana hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya antara sebab Diana memfailkan nusyuz terhadap Farid, peguam syarie itu memaklumkan antaranya mengenai tanggungjawab sebagai suami, namun terma-terma secara terperinci tidak didedahkan.

“Tunggu perbicaraan kita akan dedahkan,” katanya.

Terdahulu, Shukran menetapkan 23 Ogos depan bagi sebutan semula kes nusyuz yang difailkan Farid terhadap Diana, dengan pihak-pihak perlu memfailkan tuntutan balas dan jawapan kepada pembelaan masing-masing.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, peguam syarie yang mewakili Farid iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya positif Covid-19.

“Plaintif tidak dapat hadir kerana disahkan Covid-19 dan status kesihatannya sudah pun didaftarkan dibawah aplikasi MySejahtera.

Namun ketidakhadiran plaintif (Farid) tidak menganggu prosiding hari ini,” kata Fakhrul. Mendengar perkara itu, Azmi mengesahkan menerima surat mengenai Farid yang terkena Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, Diana ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, tindakannya memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Farid disifatkan sebagai proses biasa bagi mana-mana pasangan yang sedang berdepan kemelut rumahtangga.

“Saya terima (tuntutan nusyuz) bagi saya sesiapa boleh memfailkan apa yang mereka mahu tetapi kena diikuti dengan bukti dan fakta, jadi kita akan tunggu dan lihat,” katanya.

Pada 6 April lalu, Farid atau Farid Kamil Zahari, 42, memfailkan perintah kembali taat dan tuntutan sabitan nusyuz terhadap Diana.

Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumahtangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad,10, dan Nur Aurora berusia 8 tahun.

Loading...
Terkini