Tumpuan :
Mahkamah

Dera dua beradik, suami isteri direman 6 hari

CHUKAI: Pasangan suami isteri direman 6 hari  berhubung kes dua kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa penderaan di Kampung Jabur Kubur, semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shahsa Amir Sharifuddin terhadap suspek wanita berusia 26 tahun dan suaminya berusia 30 tahun bermula hari ini hingga 19 Julai.

Perintah reman itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kejadian semalam, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan abangnya yang berusia tujuh tahun itu dilaporkan didera di kawasan kediamannya kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebaik menerima laporan, pihak polis terus ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati ada kesan kecederaan baru dan lama di keseluruham badan kedua-dua mangsa.

“Saksi melaporkan dia melihat salah seorang daripada mangsa disepak dan diterajang oleh suspek dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dijalankan.

“Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman dan sehingga hari ini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Kemaman,” katanya.

Katanya, polis menahan suspek perempuan yang merupakan suri rumah dan bapa tiri mangsa yang bekerja sebagai buruh kira-kira jam 8 malam tadi.

“Kedua-dua mangsa akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini