KLANG: “Saya mengaku bersalah dan janji tak buat lagi. Hari ini, hari nikah saya, esok hari sanding.”
Itu rayuan seorang guru taska yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi mengurangkan jaminan atas tuduhan mendera seorang bayi lelaki di sebuah taska di Puncak Alam, dekat sini minggu lalu.
Nur Suhadah Saharudin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza.
Bagaimanapun tarikh sebutan fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan pada 24 Disember di Mahkamah Kuala Selangor.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berumur 11 bulan itu dengan mencubit pipi dan telinga sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6.15 petang di taska yang terletak di Puncak Alam dekat sini.
Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak memohon tarikh baharu pada 24 Disember bagi sebutan fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Kuala Selangor.
“Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
“Kalau ada aduan (mengganggu mangsa) jaminan akan ditarik balik serta-merta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.