comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dera anak, ibu diarah jalani pemantauan kesihatan mental


Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KEMAMAN: Seorang wanita diarahkan untuk menjalani pemantauan kesihatan mental oleh Mahkmah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan penganiayaan dengan mencederakan anak perempuannya dalam kejadian pada 13 Julai lalu.

Hakim Wan Suhaila Mohd membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Norulhuda Sufia Muda, 26 tahun, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali meminta supaya tertuduh dirujuk ke hospital bahagia, berikutan tertuduh didapati berada dalam keadaan tidak stabil.

Mengikut pertuduhan, Norulhuda Sufia telah melakukan penganiayaan terhadap anak perempuannya yang berusia lima tahun lapan bulan dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa telah menarik rambut dan kepala, mengangkat badan mangsa serta menghayunkan badan keluar dari tingkap sehingga ke atas tanah.

Norulhuda Sufia didakwa telah melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Air Jabor Kubur, di sini kira-kira jam 2 petang pada 13 Julai 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah sebanyak dua kali, namun ditolak mahkamah setelah membuat penilaian awal terhadap keadaannya sepanjang prosiding berlangsung.

Ketika prosiding dijalankan, tertuduh gagal menahan emosi dan kerap menangis selain tidak memahami pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim menyebabkan prosiding berkenaan ditangguh sebanyak dua kali.

Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini