comscore
Tumpuan :
Mahkamah

“Dekat Raya Haji, ada saja kes hilang lembu” – Majistret

Muhammad Zulikhwan (kanan, baju biru) dan Abdul Rahman (kiri) masing-masing didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas kesalahan mencuri dua lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu. – FOTO: NSTP

MELAKA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini mengenakan denda RM7,000 terhadap dua lelaki atas tuduhan mencuri dua ekor lembu milik peniaga kedai makan, dua minggu lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulikhwan Zolhaisam, 21, dan Abdul Rahman Ahmad, 57, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Dalam penghakimannya beliau turut menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh serta hujah pemberatan hukuman dikemukakan pihak pendakwaan.

“Dekat (menjelang) Raya Haji, ada saja kes hilang lembu. Kamu (tertuduh) bukan curi telefon bimbit, ini curi lembu,” katanya ketika menjatuhkan hukuman itu.

Mengikut pertuduhan tertuduh, didakwa mencuri dua ekor lembu berwarna putih baka brahman milik Amirul Amin Saharudin,31, di kandang lembu Permatang Pasir Permai, dalam daerah Melaka Tengah, pada 10 Mei lalu, jam 5.30 petang.

Jika disabitkan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira fakta kes selain lembu berkenaan sudah dijual kepada individu lain dengan harga RM4,200.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan denda yang rendah dengan alasan tidak berkemampuan dengan Muhammad Zulikhwan turut menyatakan isterinya sedang berpantang.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Khairunnisak menjatuhkan hukuman denda RM3,500 bagi setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal bayar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini