Tumpuan :
Mahkamah

Datuk Seri, anak perempuan, menantu & pekerja didakwa cederakan ahli perniagaan

Mohamad Fazil (kanan) antara lima individu yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap seorang ahli perniagaan, November lalu. FOTO: NSTP

MELAKA: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri bersama anak perempuan, menantu dan dua pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pengurus syarikat insurans pada bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie, 62, Nur Amalina, 33, Amran Azmi, 32 serta dua pekerjanya, Azian Ab Rahim, 37, dan Muhammad Azrul Syafiq Rosman, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.

Menurut pertuduhan, mereka didakwa bertindak secara bersama dengan sengaja mencederakan Muhammad Nur Hakim Baharudin, 30, di Eggxtra Cafe, Jalan KLJ 6, Taman Kota Laksamana pada 14 November lalu, kira-kira jam 8.30 malam.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof dan Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh.

Namun, peguam Bala Subramaniam merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai komitmen kewangan peribadi, menanggung ahli keluarga masing-masing, serta telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Dalam prosiding yang sama, Mohamad Fazil dan Azian turut menghadapi pertuduhan berasingan atas dakwaan menakutkan secara jenayah terhadap mangsa pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 506 KK.

Selain itu, Nur Amalina turut didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mangsa di tempat, tarikh, dan masa yang sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 untuk Mohamad Fazil dan Azian masing-masing, manakala Nur Amalina dibenarkan jaminan sebanyak RM800.

FOTO: NSTP

Semua kes akan disebut semula pada 23 Januari tahun depan.

Terdahulu, peguam Bala Subramaniam memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) untuk menghalang ‘perbicaraan oleh media’ memandangkan kes berprofil tinggi.

Namun, permohonan itu dibantah oleh Nor Azizah yang berhujah bahawa kes ini adalah sama seperti kes lain dan tidak memerlukan perintah sedemikian.

Peguam Bala Subramaniam berhujah bahawa perintah tersebut bertujuan melindungi maklumat terperinci berkaitan anak guamnya daripada diakses atau dikomen oleh orang awam, termasuk di media sosial, yang boleh menjejaskan reputasi tertuduh serta perniagaan dan pendapatan syarikatnya.

Majistret Nor Syaliati menolak permohonan tersebut selepas meneliti kes-kes terdahulu yang dirujuk secara lisan oleh peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini