comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dakwaan rogol budak 12 tahun, empat sahabat diperintah bela diri

 

 

KUALA TERENGGANU: Empat sahabat diperintahkan membela diri di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan merogol secara berkumpulan budak perempuan berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap Tuan Muhammad Shafiq Tuan Ismail, 24, Muhammad Ghardafi Abdullah, 23, Ahmad Syah Herfudin Omar, 26, dan seorang lagi tertuduh berusia 20 tahun selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama merogol mangsa secara berkumpulan di ladang sawit di Ketengah Jaya, Dungun antara jam 9 malam hingga 11 malam pada 29 September 2020.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah seterusnya menetapkan 7 Mei depan sebagai tarikh bicara kes di peringkat pembelaan.

Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh berusia 19 tahun dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Wan Syahrizal Wan Ladin, Nik Ismail Nik Lah dan Masliela Ismail.

Sebelum ini, media melaporkan lima lelaki ditahan kerana disyaki merogol murid Tahun Enam.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa ditahan dua suspek dengan seorang daripadanya dikenali dan kemudian mengajaknya ke ladang sawit sebelum dirogol.

Tiga lagi suspek yang tiba di lokasi kejadian turut merogol mangsa. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini