comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Dakwa suara bilal ganggu kejiranan, warga emas diarah jalani pemerhatian mental

Tertuduh, Sofiah Abdul Majid, 65, diarah menjalani pemeriksaan psikiatrik selepas hadapi tuduhan menghina agama Islam hari ini. – Foto: NSTP

GEORGE TOWN: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan wanita yang didakwa masuk ke ruang solat lelaki dan bertanyakan soalan kurang sopan di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Ferringhi di sini menjalani pemerhatian psikiatrik selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap Sofiah Abdul Majid, 65, selepas tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

“Berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh adalah kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

“Tertuduh diminta datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April 2024 , jam 9 pagi,” katanya.

Terdahulu, Sofiah turut mencetuskan suasana kecoh ketika dia dalam keadaan tangan bergari cuba menendang kamera Jurugambar NSTP, Mikail Ong sebanyak dua kali dalam perjalanan menuju ke kamar mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa membuat pernyataan zahir di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Ferringhi dengan menyatakan bahawa imam dan bilal di masjid tersebut membaca al-Quran seperti anjing menyalak.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 Mac lalu kira-kira jam 10 malam dengan niat yang disengajakakan untuk melukakan perasaan individu tersebut.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Namun, Sofiah tidak menjawab sama ada dia memahami atau tidak pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya sebaliknya menyifatkan semua kandungan pertuduhan tersebut sebagai tidak benar.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditangguh sehingga 19 April ini untuk menunggu laporan psikiatri.

Terdahulu media melaporkan mengenai kejadian tular mengenai wanita berkenaan yang bertanya kepada seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal dan imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.

Berikutan kejadian itu tular, laporan polis dibuat 15 Mac lalu di Balai Polis Batu Ferringhi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini