comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Da’i Syed bebas dengan ikat jamin sementara tunggu rayuan

Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Pendakwah selebriti, Da’i Syed, 29, yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, bulan lalu atas kesalahan merogol seorang wanita, dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi menangguhkan pelaksanaan hukuman, hari ini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed yang sudah meringkuk selama 21 hari di Penjara Kajang, dibebaskan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi didengar dan diputuskan.

Seorang lagi peguam belanya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media, hari ini.

Abu Bakar berkata, sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman adalah di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah, di mana pihaknya bertindak sebagai pemohon dan Pendakwa Raya sebagai responden.

Pasukan peguam bela dari firma Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak terdiri daripada Datuk Wan Azmir Wan Majid, Abu Bakar, Mohamed Baharudeen
dan Muhammad Amin Othman.

Katanya, mahkamah membenarkan permohonan dengan beberapa syarat, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 24 September ini bagi sebutan kes rayuan itu.

Pada 30 Ogos lalu, Syed atau nama sebenar, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pembelaan.

Hukuman penjara berkuat kuasa pada 30 Ogos lalu. Sebaik mendengar keputusan itu, bapa anak satu itu dilihat menangis teresak-esak dalam kandang tertuduh.

Hakim dilapor menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.

Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie melepas dan membebaskan pendakwah itu daripada tuduhan berkenaan tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 10 Disember 2020, Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun dalam bilik di sebuah kondominium di I-City di Seksyen 7, jam 1.35 malam pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April 2022.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut kolej swasta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini