MUAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki dihantar ke Sekolah Henry Gurney atas kesalahan mencuri motosikal dan positif dadah.
Sebaik mendengar keputusan Majistret Norfarah Syahidah Mohd Noh dia hanya mampu menangis dan memeluk adik beradik lain.
Norfarah Syahidah membuat keputusan itu selepas meneliti laporan sosial dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap remaja berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.
Dalam prosiding dijalankan secara tertutup, mahkamah memerintahkan remaja itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka selama tiga tahun berkuatkuasa hari ini.
Dia yang berhadapan pertuduhan pilihan didakwa menyimpan harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC milik seorang wanita berusia 23 tahun pada jam 7.45 malam, 9 Julai lalu.
Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga lima tahun dan juga denda.
Mahkamah juga membuat keputusan itu memandangkan tertuduh masih juvana.
Mengikut fakta kes, pada jam 7.30 pagi, 4 Julai lalu, pengadu meletakkan motosikal di sebuah kilang dekat Parit Jawa, di sini sebelum memasuki premis untuk memulakan kerja.
Bagaimanapun, pada jam 6 petang hari sama, pengadu mendapati motosikalnya sudah hilang.
Bertindak atas maklumat diperolehi, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar pergi ke rumah remaja itu di Segamat, lima hari kemudian.
Pada sama sama, tertuduh turut menyerahkan kunci motosikal selepas gagal memberi keterangan apabila disoal siasat berkenaan pemilikannya.
Tertuduh ditahan dan dibawa ke IPD Segamat untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati, motosikal itu dilaporkan hilang di Parit Jawa.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Alif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.