MELAKA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah dan mencuri peralatan bot bulan lalu.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Rahim Razali, 41.
Mazana turut menimbangkan rayuan tertuduh, fakta kes dan hujah pendakwaan dalam keputusannya serta menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh ditangkap pada 2 Oktober lalu.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa melakukan pecah rumah bagi mencuri enjin bot, tong isian minyak bot warna jingga dan kompresor pam air milik Othman Omar, 73.
Perbuatan itu dilakukan pada 15 September lalu, pada 2 petang di Lot No 1030, Jalan Paya Rumput, Paya Rumput dekat sini.
Dia melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda atau sebat.
Mengikut fakta kes, rumah tempat kejadian ditinggalkan kosong selepas pengadu dibawa oleh anaknya untuk tinggal bersama di Kuala Lumpur.
Pengadu dikatakan dihubungi anak saudaranya memaklumkan rumahnya dipecah masuk dan sebaik tiba dia melihat ada kesan umpil pada tingkap bahagian belakang rumah.
Didapati selain rumah berselerak, peralatan seperti enjin bot, tong isian minyak bot serta kompresor pam air turut hilang dan satu laporan polis dibuat oleh pengadu.
Sementara itu, peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman terhadap tertuduh diringankan dengan alasan pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Menurutnya, tertuduh yang berniaga kecil-kecilan menyesali tindakannya dan berjanji tidak mengulanginya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mohon hukuman setimpal dikenakan atas faktor tertuduh mempunyai dua rekod lampau jenayah sama iaitu menerima dan menyimpan barang curi pada 2017 dan 2006. -HARIAN METRO