KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan permohonan ikat jamin 14 tertuduh melibatkan 13 lelaki dan seorang wanita yang didakwa menculik seorang lelaki warga Palestin pada 2022.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membenarkan setiap tertuduh itu diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin, selepas meneliti permohonan dan hujahan peguam mereka.
Tertuduh, Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51; dan Mohd Azwan Jamaludin, 39.
Selain itu, Nidarahayu Zainal, 36; Raibafie Amdan, 41; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25; dan Edy Ko’im Said, 42.
Pada Oktober 2022, mereka didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menculik Omar Z M Albelbaisy Raeda bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.
Mahkamah Sesyen yang mendengar kes berkenaan pada awalnya menolak permohonan kesemua tertuduh itu pada 2 Februari lalu untuk diikat jamin, dan memerintahkan mereka ditahan reman sehingga perbicaraan selesai.
Muniandy dalam keputusannya hari ini berkata, pertuduhan terhadap mereka adalah serius dan jaminan ditetapkan bagi memastikan kehadiran mereka (untuk prosiding akan datang).
Hakim itu turut menetapkan syarat tambahan ikat jamin, iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran kediaman mereka dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Setiap tertuduh dihalang daripada mengulas atau membincangkan kes ini dalam apa jua bentuk. Oleh itu, perintah larangan bersuara dikeluarkan terhadap mereka.
“Setiap tertuduh diingatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk komunikasi dengan saksi pendakwaan, sama ada sengaja atau sebaliknya, dan mana-mana individu lain yang mungkin ada kaitan atau tidak dengan kesalahan yang didakwa.
“Sebarang bentuk gangguan, ugutan dan pelanggaran syarat jaminan yang dikenakan, akan memberi hak kepada mahkamah ini untuk membatalkan jaminan itu sekali gus,” katanya.
Mengikut pertuduhan, 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan Omar untuk mendapat ganjaran, iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang, di sini, pada jam 10.40 malam 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan supaya kes berkenaan didengar di Mahkamah Tinggi selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen.
Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes, dan 7 hingga 11 Julai bagi perbicaraan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.