comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Culik, larikan lelaki ke Golok, suami isteri dipenjara 20 bulan

KOTA BHARU: Pasangan suami isteri dipenjara selama 20 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menculik seorang lelaki dan melarikan mangsa ke Golok, Thailand, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Mayuni Hayeebuding, 48, yang juga warganegara Thailand dan isterinya, Nor Haznie Che Aziz, 40, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama-sama dengan tiga orang yang masih bebas didakwa menculik Muhammad Alamin Ismail, 26, dari Malaysia.

Perbuatan itu dilakukan mereka di sebuah kedai makan di Kampung Gong Jerat, Pengkalan Chepa di sini, jam 1 pagi pada 16 Januari 2023.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa diculik oleh pasangan suami isteri itu ketika berada di sebuah kedai makan di Pantai Sabak di sini, jam 12.40 tengah malam pada 16 Januari 2023.

Hasil aduan orang awam, polis menemui mangsa di sebuah bank di Rantau Panjang jam 9.15 pagi, pada 17 Januari 2023.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala mereka tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Syazalia memohon satu hukuman yang setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana mangsa mengalami trauma ekoran kes itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan terhadap kedua-dua tertuduh bermula daripada tarikh tangkap pada 17 Januari 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini