Tumpuan :
Mahkamah

Cuba sogok polis RM100, dua warga Indonesia dipenjara 12 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia dipenjara 12 bulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah cuba merasuah anggota polis sebanyak RM100 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu selepas Manab dan Mat Haris mengaku bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua individu berkenaan dituduh secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai RM100 kepada seorang koperal polis.

Wang rasuah itu sebagai dorongan supaya tidak diambil tindakan kerana tertuduh gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Kesalahan itu dilakukan pada 25 September lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 serta penjara 12 bulan jika kedua-kedua mereka gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda dan dipenjara 12 bulan.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini