comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Cuba perdaya PERKESO, pengarah syarikat bekal pekerja

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat membekalkan tenaga kerja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM1.19 juta.

Tertuduh, S Ratah, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Ratah sebagai pemilik syarikat Star Skill Sdn Bhd memberi borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama syarikat itu, bertarikh 3 Mei dan 6 Mei 2021 kepada ejen dan pegawai PERKESO.

Tertuduh berniat memperdaya PERKESO kerana borang pengesahan itu mengandungi pernyataan palsu, iaitu 12 orang dalam senarai pekerja yang dinamakan dalam borang bukan pekerja syarikat berkenaan.

Kesalahan dilakukan di Wisma PERKESO, Jalan Tun Razak sekitar Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh, selain syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap bulan.

Namun peguam bela tertuduh, Tarlochan Singh Dhaliwal memohon jaminan kurang RM20,000 atas alasan anak guamnya tiada pendapatan tetap, selepas syarikat muflis dan mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan susulan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Mac ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini