GEORGETOWN: Juruukur tanah didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh dua anggota polis, Jumaat lalu.
Ammar Faris Zainulkifli, 32, didakwa di hadapan Hakim Juraidah Abbas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Dia didakwa dengan niat cuba menyebabkan kematian ke atas Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak dengan memandu kereta Honda Civic dan cuba melanggar mereka.
Ketika kejadian 25 Oktober lalu, dua anggota polis berkenaan sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di belakang Gurney Plaza, Jalan Kelawai, jam 4.50 petang.
Tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM12,000.
Ammar Faris memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara ibu selain pendapatan bulanan sebagai juruukur hanya RM1,200.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan menetapkan 20 November depan bagi sebutan semula kes serta lantikan peguam.