Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi sebuah konsesi lebuh raya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana menerima dan meminta rasuah berjumlah RM70,000.
Rostam Shahrif Tami, 59, yang merupakan COO bagi Kumpulan Prolintas, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Tertuduh yang kini sedang bercuti dari tugas, didakwa menerima rasuah daripada wakil Satunas Technologies Sdn Bhd untuk memberikan pakej kerja bagi Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kepada syarikat tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2023, di tempat letak kereta Masjid Ibnu Mas’ud di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000.
Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM60,000 dan memerintahkan Rostam menyerahkan pasport serta melapor diri ke pejabat SPRM yang terdekat setiap bulan.
Rostam diwakili oleh peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa mengendalikan kes tersebut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.