Oleh: Nurul Amalina Zainudin
SHAH ALAM: Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi didakwa atas dua lagi pertuduhan rasuah berjumlah RM110,000 di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Tertuduh, Rostam Shahrif Tami, 59, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan pertama, Rostam didakwa secara rasuah menerima satu suapan bagi dirinya iaitu wang tunai berjumlah masing-masing RM90,000 daripada sebuah syarikat pembinaan melalui seorang individu sebagai upah bagi dirinya.
Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat konsesi didakwa atas dua lagi pertuduhan rasuah berjumlah RM110,000 di Mahkamah Sesyen, hari ini. pic.twitter.com/Aa9WGgVAiR
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 28, 2025
Ia bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memberikan kerja No 1 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’ kepada sebuah syarikat pembinaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Kinrara, Puchong pada 20 Februari 2023.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM20,000 daripada individu sama, bagi tujuan sama.
Ia bagi projek sama memberikan arahan kerja No 2 bertajuk ‘To Supply Material and Install Rain Water Down Pipe’ kepada syarikat terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat parkir kereta Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kajang, pada 27 Mac 2023.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaraz, manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
Mahkamah membenarkan tertuduh menggunapakai ikat jamin RM60,000 bersama syarat-syarat tambahan yang direkodkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Selain itu, mahkamah juga membenarkan kes dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 27 Februari ini.
Semalam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rostam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima suapan RM70,000 daripada syarikat sama.
Ia bagi Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) memberikan kerja No 3 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ dan ‘To Install Expension Joint Including Hacking, Grouting And Nosing’ kepada syarikat terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.