comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Cleopatra nafi pernah berkahwin dengan Bakri Zinin, terkejut ada sijil nikah 

Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali Cleopatra, hadir bagi pengesahan Mahkamah tidak berlakunya pernikahan bersama bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 30 atau lebih dikenali sebagai Cleopatra menafikan dia pernah bernikah dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.

Katanya dia terkejut sebaik menerima sijil pernikahan dari Thailand sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi polis itu.

Nur Fathiah memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini mengenai status ‘pernikahan’ dan sijil nikah yang diperolehnya.

“Saya berharap dapat selesaikan (isu) ini secepatnya.

“Saya belum buat laporan polis, saya cuba nak elak (buat laporan polis) kerana tidak mahu menjatuhkan reputasi sesiapa,” katanya selepas prosiding sebutan kes dalam kamar di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd Najib Wan Hamat.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Mohd Bakri, 70, selaku responden tidak hadir kerana mempunyai penyakit parkinson dan kanser prostat.

Terdahulu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, anak guamnya tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri di negara jiran menerusi fizikal atau aplikasi Zoom dan pelik bagaimana satu sijil nikah dari Thailand itu dikeluarkan tahun lalu.

“Anak guam saya tidak pernah ke Thailand berdasarkan tarikh dinyatakan dalam sijil nikah palsu itu.

“Kita sudah pun eksibit pasport anak guam yang jelas menunjukkan tiada pergerakan keluar dan masuk ke negara seberang pada tarikh berkenaan,” katanya.

Ditanya bagaimana sijil nikah itu diperoleh anak guamnya, Akberdin berkata, sebelum kes dibawa ke mahkamah hari ini, anak guamnya rujuk kes itu ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan agensi agama itu kemudian mengesahkan dokumen itu adalah palsu.

“Anak guam saya menerima satu sijil nikah dari Thailand diberikan kepadanya dan neneknya dipercayai daripada pihak responden pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, dalam afidavit jawapan, pihak responden (Mohd Bakri) tidak mengaku dan kita tunggu apa yang diputuskan mahkamah nanti,” katanya.

Menurutnya, mahkamah akan membuat keputusan berpandukan siasatan JAWI walaupun jelas sijil nikah itu palsu.

“Kes ini agak unik, biasanya orang datang ke mahkamah untuk pengesahan pernikahan, tetapi anak guam saya hadir ke mahkamah hari ini untuk pengesahan pernikahan yang tidak pernah berlaku,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri ketika ditemui turut mengesahkan perkara sama.

“Pihak kami juga sudah meneliti segala permohonan itu dan boleh kami katakan pernikahan antara pemohon dan responden tidak wujud,” katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Mohd Najib kemudian menetapkan 22 April ini bagi sebutan semula kes dan pihak-pihak berhujah berhubung permohonan status perkahwinan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini