Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] CEO nafi tipu urusan jual tapak festival Hoorey X Fest Raya

 

KUALA LUMPUR: Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas tuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hoorey X Fest Raya, dua bulan lalu.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, didakwa menipu Siti Wardina Basir, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hoorey X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di WTC pada jam 2.34 pagi pada 19 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Muhammad Alif Hakim Jamal (depan), didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hoorey X Fest Raya di WTCKL, dua bulan lalu. – FOTO: NSTP

Dakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noraisyah Mohamed Zanyuin, menawarkan jaminan  RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam tertuduh, Zamri Idrus, memohon  jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidapi penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu membabitkan kos mencecah RM1,050.

Majistret Illi Marisqa Khalizan kemudian membenarkan Muhammad Alif Hakim diikat jamin  RM 3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 27 Julai ini.

Media sebelum ini melaporkan, karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTCKL dibatalkan di saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Loading...
Terkini