comscore
Tumpuan :
Mahkamah

CEO GISBH antara 21 individu tiba di Mahkamah Selayang

 

SELAYANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali tiba di Mahkamah Sesyen Selayang untuk didakwa pagi ini.

Beliau tiba bersama 21 individu lain menaiki trak polis kira-kira jam 9.30 pagi dengan kawalan ketat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Kesemua mereka dijangka didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain Nasiruddin, turut akan didakwa isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Sebelum ini, Nasiruddin merupakan antara 16 individu
yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 pada 16 Oktober lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan kesemua individu itu akan dituduh selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang semalam.

Sehingga kini, seramai 415 individu telah ditahan dalam Op Global fasa satu hingga fasa keempat sejak dilancarkan 11 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini