comscore
Tumpuan :
Mahkamah

CEO GISBH, 21 individu lain didakwa di mahkamah esok

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. – Foto Fail NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH bersama 21 individu lain akan dituduh di mahkamah esok mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Selain Datuk Nasiruddin Mohd Ali, turut dituduh mengikut seksyen sama adalah isterinya, Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan kes berkenaan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang tadi.

“Semua OKT (orang kena tuduh) akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang esok pagi,” katanya kepada media hari ini.

Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zin berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu, seramai 58 individu ditahan di bawah SOSMA termasuk 16 pengurusan tertinggi GISBH.

Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global Fasa 1 hingga Fasa 4.

Selain itu, seramai 35 individu masih dalam tahanan reman manakala 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini